PENYANYI Shila Amzah, 21, tidak
pernah mengaku bercinta dengan mana-mana lelaki yang dikaitkan dengannya
sebelum ini. Justeru agak luar biasa apabila dia mengakui dirinya sangat selesa
bersama dengan aktor Sharnaaz Ahmad, 26, dan hubungan mereka pula kini melepasi
status hanya kawan.
Pengakuan
berani mati Shila yang ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini membuktikan
memang benar ada sesuatu yang istimewa sedang berlaku antara dirinya dan
Sharnaaz.
Malah
akuinya, hubungan mereka mendapat restu ibu bapa Shila serta diketahui oleh
keluarga Sharnaaz di Pulau Pinang juga.
Keterbukaan
Shila itu cukup mengejutkan kerana dia memang dikenali cukup berahsia mengenai
soal peribadinya. Mungkinkah Sharnaaz lelaki yang dicintai Shila sepenuh hati
dan bakal dinikahinya sehingga membuatkan dia terbuka apabila berbicara bab
cinta?
Jika
Sharnaaz dalam kenyataannya semalam tidak mengakui mahupun menafikan Shila
adalah kekasih hatinya, tetapi disyaki sememangnya kekasih hatinya daripada gelak tawanya
apabila ditanya adakah Shila kekasih hatinya, apa pula kata Shila?
“Kalau
kata bercinta saya rasa masih terlalu awal tetapi kami sudah melepasi proses
berkawan.
Cuma
kami belum putuskan apa-apa dalam hubungan kami. Tengoklah apa yang akan jadi.
Saya memang cukup selesa dengannya sebab dia jenis yang cukup menjaga saya dan
ini semua perkara baharu buat saya.
“Saya
sedar orang sekeliling tahu apa yang sedang berlaku antara saya dan Sharnaaz,
saya tidak kisah. Kalau sebelum ini saya tidak mengaku bercinta kerana semua
itu memang gosip semata-mata macam mana saya ingin mengaku. Kali ini saya
mengaku sebab memang saya berkawan dengannya dan tiada apa yang perlu
disembunyikan kerana masing-masing masih solo,” akui Shila.
Hubungan
Shila dan Sharnaaz sama seperti rakan artis biasa, namun penglibatan Sharnaaz
dalam klip video lagu Patah Seribu merapatkan lagi hubungan mereka sekitar
bulan Ogos tahun lalu.
Ungkap
Shila lagi, Sharnaaz bukan jenis lelaki hipokrit.
“Dia
jenis tidak kawal macho, dia menjadi diri dia sendiri dan itu persamaan antara
saya dengannya. Saya suka lelaki yang begitu. Masalahnya kami berdua suka cakap
lepas dan kadangkala terlupa yang saya tidak boleh cakap begitu dengannya, jadi
sekarang kami sedang belajar untuk tidak melukakan hati masing-masing,” tutur
Shila sambil tertawa.
Tiada
sebarang dendam
Meskipun
sedang dilamun cinta, Shila mengerti risiko besar yang menantinya apabila dia
secara terbuka mengaku sedang berkawan rapat dengan Sharnaaz yang juga artis
sepertinya kerana banyak tekanan yang perlu dihadapinya terutama jika hubungan
itu tidak mempunyai kesudahan yang baik.
“Memang
timbul kebimbangan apabila bercinta sesama artis sebab itu saya sudah bersedia
untuk sebarang kemungkinan. Saya ambil tahu tentang apa yang berlaku di luar
sana (artis bercinta sesama artis) bukan menjaga tepi kain orang tetapi belajar
daripada kesalahan orang lain. Semua orang melakukan kesalahan apabila
kesalahan itu diperbesarkan oleh peminat dan media akan membuatkan saya lemas.
“Sebab
itu kami tidak putuskan apa-apa dalam hubungan kami setakat hari ini, kami
tidak mahu terburu-buru. Apa sahaja yang Allah tetapkan kami terima dengan
reda, tidak ada sebarang dendam. Buat masa sekarang kami memang suka dengan kahadiran
masing-masing,” ucap Shila yang turut mendapat sokongan peminat dalam
hubungannya bersama Sharnaaz.
Selepas melakukan penggambaran klip
video lagu Patah Seribu, kesinambungan daripadanya adalah telemovie dengan
judul yang sama akan muncul di kaca televisyen pada bulan Februari ini.
Menariknya, Shila dan Sharnaaz turut berlakon dalam telemovie yang diarahkan
oleh Michael Ang itu.
Dalam
pada Shila mengambil sikap untuk berhati-hati dalam jalinan hubungannya bersama
Sharnaaz itu. tercetus kontroversi apabila kedua-duanya dikatakan tidak
berdisiplin dan asyik bermesra di set penggambaran drama tersebut.
Tegas
Shila: “Saya rasa sepanjang bekerja dengan produksi telefilem Patah Seribu, saya tidak
timbulkan sebarang masalah kerana sebagai pelakon baharu saya turutkan sahaja
kata pengarah untuk memberikan hasil yang terbaik.
Kalau
kata saya dan Sharnaaz tidak berdisiplin itu satu isu yang sangat luas, tidak
berdisiplin daripada segi apa, saya mahu tahu. Sebelum penggambaran bermula
memang kami mungkin nampak mesra untuk mewujudkan mood kerana sudah dalam
telefilem itu kami bercinta. Mungkin orang luar yang lihat tidak faham kerja
kami. Bagi saya gosip seperti ini sesuatu yang normal.”
Jatuh
cinta
Pertama
kali berlakon dalam Patah Seribu telah membuatkan Shila jatuh cinta bukan
sahaja kepada pasangan lakonannya tetapi juga terhadap bidang lakonan itu
sendiri. Tetapi akui Shila dia menghadapi masa yang sukar untuk benar-benar
menjiwai watak dalam telefilem itu.
“Nak
cakap senang memang tidak boleh sebab berlakon memang susah bagi saya. Lakonan
sesuatu yang baharu, sebelum ini kalau saya menghayati watak cuma dalam lagu
tetapi kali ini depan kamera dan memerlukan lontaran emosi yang kuat.
“Kalau
menyanyi, dalam masa 30 minit saya sudah boleh balik tetapi berlakon mengambil
masa yang lama bukan sahaja untuk persiapan set penggambaran tetapi juga
persiapan mental dan fizikal saya sendiri,” katanya mengenai penggambaran yang
memakan masa selama tujuh hari itu.
Shila
menerima tawaran untuk berlakon dalam Patah Seribu kerana katanya tidak ramai
pencipta lagu dapat terlibat dalam naskhah ciptaan mereka sendiri yang
divisualkan, selain tarikan Sharnaaz serta pengarahnya.
“Saya
cipta lagu, saya menyanyikan lagu itu dan saya berlakon dalam telefilem yang
jalan ceritanya ada kaitan dengan lagu saya, peluang ini bukan datang selalu
sebab itu saya terima. Tambahan, lakonan dapat cabang dalam bidang seni juga.
“Selain
itu Sharnaaz dan pengarahnya Michael Ang antara sebab saya berlakon telefilem
ini. Ia lakonan pertama saya, jadi saya perlukan orang yang dekat dengan saya
untuk memberi tunjuk ajar dan saya yakin dengan kemampuan mereka untuk membantu
saya,” tutur Shila.
Bagaimanapun
tutur Shila dia tidak akan sesekali meminggirkan bidang nyanyian untuk beralih
kepada lakonan kerana baginya nyanyian tetap berada di carta nombor satu buat
dirinya.
“Memang
saya tidak akan beralih kerjaya. Tetapi kalau mendapat tawaran yang kena pada
waktunya dan wataknya sesuai dengan saya, mungkin saya akan terima kerana saya
memang suka berlakon,” luahnya.